fbpx

Lagi mangsa gempa ditemui masih hidup selepas seminggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hivay diselamat dalam keadaan dia memakai baju tidur dari runtuhan di Adiyaman – Getty Images Keajaiban selepas seminggu

ANKARA – Sebilangan mangsa gempa bumi di Turkiye berjaya diselamatkan selepas lebih seminggu bencana berlaku yang menyaksikan angka korban melepasi 37,000 orang, lapor akhbar The Sun kelmarin.

Antara mangsa yang diselamatkan ialah Huseyin Berber. Dia diusung keluar dari sisa runtuhan kediamannya di Antakya, selatan Turkiye, selepas terperangkap lebih tujuh hari di bawah runtuhan konkrit.

Lima jam sebelum itu, anggota-anggota penyelamat melaung kalimah ‘Allahuakbar’ apabila kanak-kanak perempuan bernama Hivay User diselamatkan dalam keadaan dia memakai baju tidur di bawah runtuhan di Adiyaman.

Di wilayah paling teruk terjejas, Hatay, seorang mangsa bernama Naide Umay diselamatkan selepas 175 jam terperangkap di celahan runtuhan.

Bagaimanapun, harapan untuk menyelamatkan mangsa masih hidup semakin tipis. Anggota-anggota penyelamat berkata, usaha mencari dan menyelamat akan menjadi terhad disebabkan suhu sejuk yang boleh mencecah -6 darjah Celsius.

Ketua Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Martin Griffiths berkata, fasa menyelamat kini semakin hampir ditamatkan dengan fokus akan bertukar kepada menyediakan perlindungan serta makanan.

Ramai mangsa yang terselamat dilaporkan terpaksa tidur di dalam kereta selain sebuah keluarga terdiri daripada tujuh anggota adalah antara mangsa yang berlindung di bawah khemah di sebuah stadium bola sepak.

Ramai kanak-kanak berada di luar tanpa pemanasan atau alat mainan, namun mereka yang rata-rata berusia satu hingga 10 tahun masih tersenyum ketika petugas Bulan Sabit Merah menghulurkan biskut penambah tenaga serta minuman ringan.

“Ia amat menyentuh hati melihatkan kanak-kanak itu terpaksa menjalani hidup seperti ini,” kata seorang sukarelawan, Anastasia Ozdemir. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI