KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan menjadikan murid sekolah di seluruh negara sebagai Duta Madani Perpaduan selaras pelaksanaan konsep dibawa oleh Kerajaan Perpaduan ketika ini.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, duta itu amat penting bagi memberi pengetahuan lebih jelas dan mendedahkan murid tentang perpaduan sejak di peringkat sekolah.
Katanya, beliau mengambil inspirasi berkenaan hasil konsep yang dibawa oleh Jabatan Pendidikan Daerah Sentul melalui Festival Semarak Ilmu berlangsung hari ini.
“Duta ini sangat penting sebab mereka (murid) akan menggagaskan satu yang saya fikir optik lebih jelas tentang perpaduan di peringkat sekolah.
“Integrasi kaum dan juga pengukuhan idealisme dan juga dari segi kerangka Madani itu sendiri yang inklusif dan juga mempunyai potensi, seni dan budaya yang mesti kita teruskan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Semarak Ilmu di HGH Convention Centre di sini hari ini.
Beliau juga turut mengisytiharkan Duta Madani Perpaduan diperingkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini dan akan mengembangkan ia secara berperingkat di sekolah seluruh negara.
“Selepas ini kita akan bawa mereka (murid) untuk bersama berkongsi dengan negeri-negeri lain juga berkaitan dengan potensi dan juga bagaimana mampu terus menjadi Duta Madani di peringkat sekolah,” ujarnya.
Sementara itu, Festival Semarak Ilmu Tahun 2023 diadakan bagi mengetengahkan bakat , kreativiti serta potensi murid-murid sekolah di daerah Sentul menerusi pelbagai aktiviti antaranya persembahan daripada johan bercerita, tarian rakyat dan tradisional, koir, deklamasi sajak, bicara berirama, gamelan dan angklung. – KOSMO! ONLINE