JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan satu insiden kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenama Honda Scoopy yang masih utuh selepas dirempuh sebuah kereta dari arah belakang, lapor program berita Liputan6.
Video tersebut dimuat naik dalam akaun Instagram @infocegatansukoharjo.
Netizen teruja apabila kereta itu dilihat mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan tetapi kemalangan tersebut tidak memberi kesan ke atas motosikal yang dilanggar.
Sebilangan pengguna di media sosial bahkan kagum dengan kualiti ketahanan motosikal itu, manakala ada yang menggelarnya sebagai ‘motosikal terkuat di Bumi’.
Bagaimanapun, kerosakan bahagian hadapan kereta itu dikatakan berpunca daripada faktor zon pelanggaran atau zon remuk.
Menurut laman web rasmi Daihatsu, zon remuk adalah bahagian kenderaan yang direka untuk musnah dalam kemalangan. Kawasan itu berfungsi menyerap tenaga kinetik akibat pelanggaran supaya dapat meminimumkan kesan rempuhan.
Pada era dahulu, pengeluar bersaing untuk menghasilkan kereta menggunakan bahan mentah yang paling kuat. Matlamatnya adalah untuk mengelakkan perubahan bentuk kereta yang akan menjejaskan jualan.
Bagaimanapun, bahan mentah yang kuat ternyata sangat berbahaya kepada pemandu apabila berlaku pelanggaran. Kajian mendapati ia boleh memindahkan aliran tenaga impak ke dalam kabin kereta dan memburukkan lagi kecederaan pemandu dan penumpang.
Oleh yang demikian, zon remuk sengaja direka oleh pengeluar supaya badan kereta tidak terlalu kaku ketika pelanggaran. Impak hentaman akan diserap sepenuhnya oleh zon remuk dan menyelamatkan penumpang daripada kecederaan maut.
Hantaran itu menjelaskan bahawa bukan motosikal Honda Scoopy yang mempunyai kekuatan super, tetapi kerosakan itu berlaku di kawasan yang meminimumkan kecederaan maut. – Agensi