SEREMBAN – Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban (HTJS) akan mewujudkan satu jawatankuasa khusus bagi menyiasat isu tular di media sosial tentang dakwaan berlaku kecuaian doktor dalam merawat seorang kanak-kanak awal bulan lalu.
Pengarah HTJS, Datuk Dr. Zaleha Md. Noor berkata, jawatankuasa yang terdiri daripada pakar dan pegawai perubatan itu akan menyiasat dengan teliti isu tersebut.
“HTJS memandang serius isu ini dan satu pertemuan dengan pengadu telah diadakan bagi mendapatkan gambaran yang lebih terperinci serta berbincang mengenai aduan tersebut.
“Kami memohon mana-mana pihak untuk tidak membuat sebarang andaian terhadap pihak yang terlibat sepanjang proses siasatan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tular sejak semalam di Facebook seorang wanita mendakwa berlaku kecuaian di pihak doktor yang merawat anaknya pada 3 Februari lalu di hospital berkenaan.
Wanita itu mendakwa dua orang doktor yang merawat memaklumkan kaki anaknya yang digilis bas tidak patah selepas imbasan x-ray dilakukan dan tidak perlu ditahan di wad dan diminta pulang ke rumah serta dibekalkan dengan ubat tahan sakit dan antibiotik.
Bagaimanapun, pada 7 Februari lalu, wanita tersebut membawa semula anaknya ke bahagian kecemasan HTJS selepas keadaan anaknya itu semakin buruk dan selepas imbasan x-ray serta imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dilakukan mendapati kaki kiri anaknya patah serta berlaku pendarahan dalaman yang teruk pada bahagian paha kanan. – KOSMO! ONLINE