fbpx

Haiza seronok agih sarapan, baca Rukun Negara di sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAIZA sempat beramah-mesra bersama pelajar dan guru-guru semasa menjayakan kempen Buletin Belanja Breakfast di beberapa buah sekolah baru-baru ini.

BUKAN sekadar mahu memberikan sarapan percuma namun kunjungan penyanyi Haiza bersama barisan penyampai Buletin FM ke beberapa buah sekolah baru-baru ini bertujuan memberikan pelbagai informasi dan menyuntik semangat kepada pelajar untuk lebih ceria 

Ditemani barisan penyampai terdiri daripada Izwan Azir, Muaz, Marsila Hassan dan Hanif Miswan, Haiza teruja dengan sambutan yang diberikan sempena kempen Buletin Belanja Breakfast itu hadir ke beberapa buah sekolah di sekitar Lembah Kelang membawa senyuman kepada para pelajar dan guru-guru.

“Sebenarnya kempen ini dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada murid-murid tentang kepentingan sarapan bagi memulakan persekolahan. Sarapan yang berkhasiat penting untuk perkembangan minda dan tubuh badan mereka.

“Kita sedar ramai dalam kalangan pelajar tidak bersarapan setiap kali memulakan hari persekolahan mereka. Jadi kita datang kepada mereka untuk memberikan kesedaran kepada mereka tentang kepentingan sarapan,” kata Haiza.

BARISAN penyampai Buletin termasuklah Izwan Azir, Muaz, Marsila Hassan, Hanif Miswan dan Haiza yang menjayakan kempen Buletin Belanja Breakfast di beberapa sekolah di sekitar Lembah Kelang baru-baru ini.

Melihatkan sambutan hangat yang diberikan, Haiza gembira kerana kebanyakan pelajar memberikan maklum balas yang baik dan teruja dengan progam yang julung kali diadakan.

Mereka juga gembira dapat bertemu dengan barisan penyampai Buletin FM yang merupakan tenaga kerja profesional daripada pelbagai latar belakang.

“Sebenarnya apabila berpeluang hadir ke sekolah memang sangat menyeronokkan. Saya sendiri pun sudah lama meninggalkan alam persekolahan dan pastinya kehadiran kali ini menggamit kenangan dahulu.

“Paling teruja apabila dapat menghadiri perhimpunan sambil membaca Rukun Negara, menyanyikan lagu sekolah dan sebagainya. Semua perkara ini dah lama ditinggalkan, memanglah kami semua teruja,” kata Haiza yang optimis mempromosikan Buletin FM sebagai sebuah radio yang memberikan fokus isu semasa dan info terkini.

Barisan penyampai Buletin FM juga berkongsi pengalaman dan memberikan motivasi kepada pelajar untuk terus yakin dalam berkomunikasi dalam menyuarakan pendapat.

Seperti yang diketahui ramai, tidak semua pelajar mahu ke hadapan disebabkan pelbagai faktor seperti malu dan sebagainya. Jadi kehadiran tersebut mampu membentuk keyakinan kepada pelajar agar lebih berani.

KEHADIRAN barisan penyampai Buletin FM sempena kempen Buletin Belanja Breakfast di beberapa sekolah di sekitar Lembah Kelang membawa senyuman kepada para pelajar dan guru-guru.

 

Barisan penyampai Buletin FM turut mendedahkan kepada pelajar tentang kerjaya dalam bidang hiburan dan komunikasi untuk membentuk minat seterusnya berjaya mengejar cita-cita apabila besar nanti.

“Banyak perkara yang kami kongsikan dalam sesi Buletin Beri Breakfast baru-baru ini. Kalau dilihat barisan penyampai Buletin FM terdiri daripada pelbagai latar belakang.

“Ada penyampai berita, ada juga pengulas sukan dan saya sendiri mewakili golongan penyanyi. Sudah tentu banyak perkongsian yang diberikkan untuk pelajar dan ibu bapa juga,” katanya yang turut mengalu-alukan penyertaan daripada sekolah lain selepas ini. – KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI