fbpx

Gempar Turkiye: Mayat 7 beranak ditemui tertimbus bawah runtuhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota MCM membantu menguruskan mayat mangsa runtuhan di Antakya wilayah Hatay, Turkiye.

PETALING JAYA – Tekad dan usa­ha badan bukan kerajaan (NGO), Muslim Care Malaysia (MCM) membantu pasukan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) menggali dan mengesan mangsa gempa bumi di beberapa kawasan di selatan Turkiye, berjaya menemui tujuh beranak yang tertimbus bawah runtuhan.

Timbalan Presidennya, Mohd. Johari Ismail berkata, MCM merupakan NGO terawal tiba di kawasan ground zero dan red zone dalam bersama-sama membantu pasukan SAR dari Malaysia dan Turkiye menjalankan operasi.

Katanya, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila berjaya menemui mayat di Antakya wilayah Hatay.

“Kami (MCM) membawa keluar mayat berkenaan dari runtuhan dan mengusung ke kawasan tepi runtuhan.

“Semalam (kelmarin) kami juga berkesempatan menunaikan solat jenazah tujuh beranak yang meninggal akibat terpe­rangkap dalam runtuhan rumah mereka termasuk seorang kanak-kanak,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Bercerita lanjut mengenai pengalaman di sana, Mohd. Johari turut merasai sendiri keadaan ketika berlaku gegaran susulan yang kuat beberapa kali sepanjang berada di kawasan hot spot (kritikal) sejak 8 Februari lalu.

“Saya dan pasukan mengalami sendiri beberapa kali gegaran yang kuat ketika berada di Reyhanli, Gaziantep dan juga Antakya adalah perkara paling mendebarkan kami,” ujarnya.

MCM berkesempatan menunaikan solat jenazah buat tujuh beranak yang tertimbus bawah runtuhan rumah mereka di Reyhanli, Turkiye.

Menurut Mohd. Johari, kea­daan laluan di sana sangat sesak disebabkan banyak jalan yang rosak dan tidak dapat dilalui, namun situasi tersebut tidak mematahkan semangat MCM untuk terus menghulurkan bantuan kepada mangsa terlibat.

“Setakat ini masih banyak bantuan diperlukan oleh Turkiye kerana kebanyakan bangunan kediaman dan perniagaan perlu diruntuhkan dan dibangunkan semula.

“Kerosakan berlaku terlalu dahsyat dan meninggalkan kesan yang sangat memeritkan buat rakyat Turkiye yang berada di kawasan yang terkesan hari ini,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI