fbpx

Fizi Ali tak takut dilambung ombak, sedia kahwin lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BERKENALAN sejak beberapa bulan lalu, Fizi mengharapkan doa yang baik-baik andai dia berjodohan dengan Tiz.

KUALA LUMPUR – Selepas lebih setahun bercerai, penyampai radio Fizi Ali tanpa berselindung mengakui sedang berkawan rapat dengan rakan niaganya dikenali sebagai Tiz sekali gus bersedia untuk mendirikan rumah tangga sekali lagi.

Fizi, 36, berkata, dia memohon doa yang baik-baik daripada orang ramai andai jodohnya tertulis bersama Tiz yang dikenalinya sejak beberapa bulan lalu.

“Dia antara orang paling rapat buat masa sekarang yang saya boleh ajak sembang berkenaan perniagaan dan soal kehidupan.

“Saya tidak takut dilambung ombak dan tiada masalah untuk mendirikan rumah tangga sekali lagi.

“Kalau diberi peluang berjodohan dengannya pun tiada masalah. Doakan yang baik-baik sahaja untuk kami,” katanya ketika sidang media Sound Of Circus di sini, semalam.

Ditebak tentang niat untuk mengakhiri zaman duda, pemilik nama lengkap Mohd. Fifizudin Alimudin itu bersedia jika berkahwin dalam masa terdekat asalkan dipersetujui oleh kedua orang tuanya.

“Buat masa sekarang saya hanya mengikut ketentuan masa. Sekiranya bakal berkahwin dalam waktu terdekat pun saya tiada masalah.

“Kalau dua tahun lagi pun tidak mengapa asalkan yang paling penting adalah persetujuan ibu bapa saya,” ujarnya.

Tambah penyampai radio Hot FM itu, buat masa ini dia lebih selesa bekerja bersama Tiz dan dapat belajar ilmu baharu seperti bidang perniagaan.

“Selesa bekerja dengan dia buat masa sekarang. Dahulu dia memang ada perniagaan sendiri dan saya fikir apa salahnya untuk bekerjasama.

“Saya pula tidak pernah berniaga sebelum ini dan merasakan ini satu peluang untuk memasuki bidang perniagaan,” jelasnya.

Cerita Fizi lagi, anak perempuannya iaitu Ameena Sofia sudah berjumpa dengan Tiz dan kedua-duanya mudah menjalin kemesraan antara satu sama lain.

“Ameena beberapa kali sudah berjumpa dengannya dan anak saya sejenis mesra dengan orang. Tiada masalah untuk kami dan penerimaannya terhadap Ameena juga okey sahaja,” kongsinya.

Meskipun kini diulit bahagia, Fizi sempat berkongsi detik gelap dalam kehidupannya ketika gagal dalam perkahwinan terdahulu sehingga pernah menghalang dirinya untuk bergerak ke hadapan.

“Suatu ketika dahulu saya meratapi apa yang terjadi sehingga merasakan dunia saya gelap kerana sering duduk seorang diri.

“Waktu itu saya terfikir apa yang akan terjadi dengan masa depan hingga satu tahap saya berhenti berfikir. Bermula dari situ saya mula melangkah dan kalau ditakdirkan berjumpa jodoh saya bersedia,” tuturnya.

Terdahulu, Fizi mendirikan rumah tangga bersama pelakon Shakilla Khoriri pada 18 Februari 2018 namun bercerai sekitar Disember 2021.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nurul Ameena Sofia yang kini berusia empat tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI