fbpx

Farm Fresh sasar buka 300 cawangan baharu Jom Cha seluruh negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Farm Fresh Berhad menyasarkan pembukaan 300 cawangan baharu Jom Cha by Farm Fresh

PUTRAJAYA – Syarikat tenusu termuka negara, Farm Fresh Berhad menyasarkan pembukaan sebanyak 300 cawangan baharu Jom Cha by Farm Fresh di seluruh negara dalam masa tiga tahun akan datang.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal berkata, ketika ini minuman Jom Cha boleh dinikmati di 25 cawangan dan boleh ditemui di kebanyakan pasar raya besar seperti IOI City Mall dan Genting Highlands Premium Outlet.

Menurut beliau, untuk tahun 2023, syarikat merancang untuk menambah 100 cawangan baharu termasuk meneroka pasaran di Sabah dan Sarawak.

“Kita bukan berada dalam industri untuk mencabar sesiapa tapi kita mahu beri satu kelainan kepada para peminat boba.

“Pada masa ini banyak jenama air boba yang dijual di pasaran tetapi kebanyakan mereka berkonsepkan teh boba, Jom Cha pula menggunakan rangkaian produk-produk Farm Fresh yang bukan sahaja sedap tetapi sihat.

“Contohnya salah satu menu yang kita ada iaitu yoghurt citron, pelanggan dapat menikmati kesedapan Jom Cha termasuk khasiat daripada yogurt dan susu oat,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran secara rasmi cawangan Jom Cha by Farm Fresh di IOI City Mall di sini tadi.

 

Azmi (kanan) pada majlis pelancaran cawangan Jom Cha di IOI CIty Mall hari ini.

Dalam pada itu, Azmi berkata, Jom Cha diwujudkan untuk menambah pendapatan bagi ‘home dealer’ serta pada masa sama untuk Farm Fresh sebagai sebuah syarikat.

Katanya, Jom Cha menawarkan pilihan 19 jenis minuman di bawah enam kategori berbeza yang kebanyakannya diperbuat daripada susu dan yogurt Farm Fresh.

“Kami percaya dengan kualiti tenusu kami apatah lagi apabila kami sedar sudah banyak jenama minuman di luar sana yang sudah pun menggunakan susu Farm Fresh.

“Peluang ini digunakan untuk terus mengembangkan dan mencampurkan susu segar kami dengan boba.

“Baru-baru ini, kita turut memperkenalkan menu baharu iaitu Yogurt Mixberries Soft Serve yang diperbuat daripada yogurt Farm Fresh yang kaya dengan probiotik,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Farm Fresh Jomcha Sdn Bhd, Eddie Lim berkata, Jom Cha sangat teliti dengan pemilihan bahan-bahan terkandung dalam setiap produk dan faktor tersebut menjadi kelebihan untuk jenama mereka berbanding yang lain di pasaran.

“Jom Cha adalah antara jenama yang baharu di pasaran tetapi nama Farm Fresh sangat sinonim dengan rakyat Malaysia.

Kami juga percaya dengan apa yang kami tawarkan dan melihat kepada peningkatan jualan yang ketara sejak Jom Cha bermula, kita yakin pelanggan semakin lama semakin menyukai produk minuman ini,” ujarnya.

Jom Cha menawarkan rangkaian perisa tersendiri yang menarik bermula dengan hanya RM5.80. Fokus mereka adalah menawarkan perisa yang enak menggunakan bahan-bahan berkualiti tinggi dengan harga berpatutan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI