LONDON – Pengendali Arsenal, Mikel Arteta digesa untuk meletakkan Gabriel Martinelli di bangku simpanan dan menurunkan Leandro Trossard ketika mereka dijadual turun menentang Manchester City awal pagi esok.
Selepas The Gunners sekadar terikat 1-1 menentang Brentford dan City meraih kemenangan ke atas Aston Villa, jurang mata kedua-dua pasukan itu kini menjadi tiga mata biarpun Arsenal masih kekurangan satu perlawanan.
Trossard masuk sebagai pemain gantian ketika menentang Brentford dan meledak gol pertamanya bersama Arsenal dan masih menantikan peluang untuk diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan berkenaan.
Dalam pada itu, Martinelli ketika ini masih kekal sebagai tonggak penting Arteta apabila diturunkan dalam kesebelasan utama semua perlawanan musim ini, tetapi berdepan kemarau jaringan sejak tujuh perlawanan lalu.
Bekas penjaga gol Newcastle United, Shaka Hislop percaya bahawa sudah tiba masanya peluang diberikan kepada Trossard dan diturunkan dalam perlawanan penting menentang City nanti dan meletakkan Martinelli sebagai pemain simpanan.
“Saya tidak fikir Gabriel Martinelli berada dalam keadaan baik dari segi prestasi ketika ini. Apabila kita bercakap mengenai Trossard, dia telah memberikan impak. Saya fikir ini adalah masanya untuk Arteta memikirkan mengenai perkara itu.
“Martinelli adalah pemain yang pantas dan mampu untuk turun bertahan kemudian membantu pasukan di bahagian serangan, tetapi dia tidak memberikan impak. Anda boleh buat penyesuaian sekiranya hanya untuk mempunyai faktor kepantasan.
“Dia tidak bermain dengan baik dan kelihatan bergelut. Jadi, ia adalah perubahan yang mudah untuk dilakukan. Pada saya, inilah masa untuk memberikan ruang buat Trossard membuktikan kemampuannya, dia akan menjaringkan gol untuk Arsenal,” jelasnya. – AGENSI