LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menghadiahkan kemenangan 2-0 yang direkodkan ke atas Everton kepada penyokong setia selepas menamatkan empat aksi tanpa kemenangan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi semalam.
Pada perlawanan di Stadium Anfield itu, skuad The Reds akhirnya mengecapi kemenangan pertama dalam kancah liga sejak Disember lepas hasil jaringan yang dilakukan oleh Mohamed Salah dan Cody Gakpo.
Kata Klopp, keputusan tersebut sememangnya memberi kelegaan tambahan buat pasukan selepas dikritik hebat sebelum ini susulan prestasi yang tidak konsisten terutama di peringkat domestik.
“Ini adalah hari yang luar biasa buat kami dan tidak keterlaluan untuk saya katakan penyokong memainkan peranan penting dalam memastikan pasukan dapat melakar kemenangan pertama selepas empat perlawanan.
“Keyakinan yang dipamerkan oleh barisan pemain kami termasuk pemain muda seperti Stefan Bajcetic untuk mengemudi jentera tengah sangat mengagumkan dan termasuk apa yang dipamerkan Jordan Henderson.
“Saya harap keputusan ini dapat menjadi titik permulaan buat kami untuk terus bangkit mendaki carta liga musim ini,” katanya.
Sementara itu, Bajcetic mengakui gembira dapat membalas kepercayaan yang diberikan oleh Klopp untuk mempamerkan prestasi lebih konsisten dalam kesebelasan utama.
“Saya telah bermain di pelbagai posisi, tetapi ini kali pertama saya diarahkan bermain sebagai pemain No. 10 dan harus diakui ia cukup serasi dengan corak permainan saya,” kata pemain berusia 19 tahun itu.
– AGENSI