PETALING JAYA – Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa bergegas ke Hospital Selayang pagi ini susulan kejadian seorang lelaki cedera ditikam seorang pesakit mental semalam.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa yang menghidap demam denggi pergi ke hospital berkenaan bagi mendapatkan rawatan sebelum diserang pesakit mental terbabit.
“Sejurus mendapat perkhabaran insiden di Hospital Selayang, saya bergegas ke lokasi selepas sesi Parlimen bagi mendapatkan maklumat dan penjelasan daripada pihak hospital.
“Saya bersama Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Pengarah Hospital serta pasukan doktor yang merawat mangsa telah bertemu keluarga mangsa bagi menjelaskan keadaan yang berlaku termasuk usaha-usaha yg telah dilakukan dalam memastikan pesakit diberikan rawatan yang terbaik.
“Status terkini pesakit juga akan dilaporkan dari masa ke semasa kepada keluarga. Perkara ini sedang dalam siasatan pihak yang berwajib,” ujar beliau menerusi laman Twitter rasminya.
Dalam pada itu, media melaporkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya akan mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) berhubung pesakit mental di wad kecemasan serta klinik.
“Sebelum tular maklumat yang tidak tetap, saya ingin memaklumkan bahawa kejadian lelaki ditikam (semalam) melibatkan pesakit mental yang dibawa ke hospital oleh polis.
“Kejadian sedemikian boleh berlaku di mana-mana sahaja. Kita akan kaji semula SOP berhubung pesakit mental bagi menjamin keselamatan pesakit lain di wad kecemasan dan klinik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, mangsa yang cedera akibat tikaman itu berjaya diselamatkan pasukan perubatan dan dalam keadaan stabil. – KOSMO! ONLINE.