fbpx

Dewan Rakyat: KKM rangka 7 inisiatif tangani kesesakan Jabatan Kecemasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) telah merangka tujuh langkah atau inisiatif dalam menangani permasalahan kesesakan yang berlaku di Jabatan Kecemasan di hospital seluruh negara.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, salah satu inisiatif yang dilakukan pihaknya adalah pengauditan dalaman dan meneliti semula keberkesanan inisiatif sedia ada dalam kementerian.

“Atas tujuan ini, saya sendiri telah turun ke lapangan dan akan bertemu dengan pengarah-pengarah negeri dan hospital untuk mendengar sendiri dan memahami isu-isu di setiap Jabatan Kecemasan secara spesifik.

“Kami turut mencari jalan penyelesaian bersama dan bagaimana KKM dapat menyokong inisiatif yang dilaksanakan oleh setiap hospital masing-masing,” jelasnya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang minta menteri kesihatan menyatakan rancangan kementerian untuk mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan di seluruh negara di Dewan Rakyat.

Selain itu, tambah Zaliha, KKM turut mengaplikasikan Lean Healthcare yang melihat kepada keseluruhan proses kerja bagi mengurangkan aktiviti yang tiada nilai tambah demi meningkatkan efisiensi.

Proses berulang yang menjejaskan pergerakan pesakit ini katanya dapat dikurangkan atau dihapuskan sama sekali bagi memastikan aliran pesakit berjalan lancar.

Selain itu, inisiatif ketiga adalah projek Short Stay Unit (SSU) yang memfokuskan kepada pesakit stabil yang memerlukan rawatan kurang dari 72 jam.

“Pelaksanaan Bed Management Unit (BMU) secara berpusat di peringkat hospital yang bertanggungjawab untuk pengurusan katil dan aliran pesakit secara berpusat (sama ada pesakit kecemasan dan elektif) daripada proses kemasukan, discaj, transfer intra dan inter-fasiliti.

“Inisiatif seterusnya adalah dengan bekerjasama dengan agensi kerajaan dan sektor swasta (outsourcing), merawat kes-kes bukan kecemasan di Klinik Kesihatan dan terakhir adalah memperkasakan komuniti dan meningkatkan kesedaran awam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI