KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan terus memperkasakan golongan belia sama ada di luar bandar mahupun di bandar dengan pelbagai inisiatif dan program keusahawanan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya telah menggariskan lapan strategi utama dengan melibatkan 16 program dalam usaha memperkasakan golongan belia.
Pada masa sama katanya, kolaborasi dengan kementerian lain turut dilakukan untuk mendekati permasalah desa serta sebagai langkah untuk mengelakkan kerja dalam silo.
“Dalam hal ini kita melihat bahawa terdapat kolaborasi dengan kementerian-kementerian yang lain bagi memastikan usaha ini mencapai matlamatnya.
“Kita tidak bergerak secara silo, terdapat jalinan kerjasama dengan kementerian berkaitan, terutama dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal & Vokasional (TVET) yang memfokuskan kursus usahawan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) berkenan pembaharuan yang dibawa kementerian dalam menjadikan KKDW mesra anak muda dan cakna kepada isu kemaslahatan dan kemajuan desa. – KOSMO! ONLINE