KUALA LUMPUR – Tindakan tegas akan dilakukan kerajaan ke atas nelayan asing yang menceroboh perairan negara dalam usaha melindungi serta membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan.
Ini kerana kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, jika ia tidak ditangani segera ia akan memberi kesan rantaian serta berisiko mengundang jenayah serius yang lain.
Sebagai contoh katanya, negara akan terdedah dengan jenayah seperti penyeludupan dadah, barangan, pemerdagangan manusia, lanun dan kerosakan alam sekitar.
“Kerajaan sedar jika isu ini (pencerobohan nelayan asing) tidak dikawal, kita akan terdedah pada aktiviti jenayah lain seperti penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia, penyeludupan barangan, lanun dan kerosakan alam sekitar akibat ‘over fishing’ (tangkapan hasil laut berlebihan).
“Itu semua dalam radar tindakan kerajaan,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berkenaan langkah kerajaan untuk mengatasi isu pencerobohan nelayan asing yang membawa ancaman pelbagai jenayah serius lain. – KOSMO! ONLINE