SEMATAN – Seorang kanak-kanak lelaki hilang ketika sedang bermain sementara menunggu bapanya balik kerja di Kuari Batu Perigi, di sini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata dalam kejadian yang dilaporkan kira-kira pukul 4.05 petang tadi, kanak-kanak berusia dua tahun itu sedang bersama ibunya.
“Mangsa disedari hilang oleh ibunya semasa sedang menunggu ayahnya pulang dari kerja di pondok Kuari Batu Perigi.
“Mangsa kali terakhir dilihat oleh ibunya sedang bermain di luar kawasan pondok belakang rumah kongsi kuari berkenaan.
“Setelah menyedari mangsa tiada bersebelahan, ibu mangsa terus memanggil serta bergegas mencarinya dengan bantuan suami dan beberapa pekerja lain di sekitar kawasan berkenaan namun masih gagal dijumpai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan itu, katanya operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera digerakkan oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu dengan kerjasama polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan pekerja Kuari Batu Perigi.
Operasi SAR dilakukan di sekitar belakang rumah serta kawasan kuari dalam radius dalam 1 kilometer sehingga ke kawasan ladang kelapa sawit. – KOSMO! ONLINE