fbpx

Belanja raya jangan sampai jatuh miskin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG ramai mengambil peluang untuk membeli-belah terutama pada musim perayaan. - GAMBAR HIASAN

Beberapa minggu ini heboh tentang permintaan sesetengah pihak agar kerajaan membenarkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membantu mereka untuk terus ‘hidup’.

Bagaimanapun, permintaan itu ditolak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah memikirkan kehidupan pencarum selepas bersara terutamanya yang memiliki caruman di bawah RM10,000.

Seperti yang didedahkan media, penulis percaya banyak alasan punca permintaan itu dibuat, setiap individu ada masalah sendiri dan mengapa mereka perlukan wang berkenaan.

Bahasa mudah kita boleh mengatakan mengapa selepas tiga kali pengeluaran masih susah, namun kita sendiri tidak tahu apa yang dilalui mereka.

Harga barang kini juga naik mencanak, sayur dijual mahal, malah penulis terkejut apabila terung berharga RM40 sekilogram. Itu belum lagi tomato seberat 200 gram dijual RM2.

Di saat umat Islam bakal meraikan Hari Raya Aidilfitri sekitar dua bulan lagi, harga bahan mentah untuk membuat biskut raya juga dilaporkan naik sehingga 40 peratus.

Situasi ini pastinya memberi gambaran belanja raya meningkat. Belum lagi soal baju, hiasan diri dan barangan rumah termasuk perabot, langsir. Upah tukang jahit juga naik.

Persiapan dibuat terutamanya kaum ibu pastinya mencabar, sibuk mencongak perbelanjaan agar poket tidak kering.

Tolak, campur bahagi mana yang perlu dibeli, ditukar baharu atau sekadar guna yang lama di zaman serba mahal ini.

Jika melihat media sosial, kemeriahan sangat terasa, lambakan jualan baju Melayu, kurung, kebaya, tudung dan hiasan semakin rancak sehingga membuatkan orang ramai kelabu mata.

Harga jangan cakaplah. Tukang jahit pula sudah tutup tempahan. Maka berbondonglah orang menyerbu platform TikTok, Instagram dan Facebook mencari persalinan raya.

Namun perlu diingat, barangan yang murah selalunya penuh muslihat, hati-hati dengan tawaran harga, contohnya sehelai baju kurung RM100.

Siapa tidak teruja, baju cantik harga murah namun itu mungkin perangkap.

Jangan terlalu ghairah berbelanja sehingga memudaratkan kehidupan kita kelak. Dalam situasi ini kita perlu bijak membuat pilihan bersandarkan kepada aspek keperluan dan bukannya nafsu.

Biskut raya, baju cukuplah sekadar ada dan bukan bermewah-mewah. Keterujaan menyambut raya pasti ada namun berbelanjalah mengikut akal fikiran dan poket kalian.

Kenaikan harga barangan, Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang dijangka bulan depan selain situasi semasa ekonomi negara perlu diambil kira.

Tiada pengeluaran KWSP seperti tahun lepas, maka membelilah dengan bijak, tidak boros dan jangan sampai poket kering sehingga menjadi ‘miskin’ demi mahu cantik bergaya ketika Aidilfitri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI