KUALA LUMPUR – Sebanyak tujuh buah kereta dan sebuah motosikal terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Dato Sulaiman, Taman Tun Dr Ismail, di sini, pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan kemalangan itu pada pukul 9.10 pagi.
Menurut kenyataan itu, seramai enam anggota lain-lain pangkat dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Taman Tun Dr Ismail dan sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, sebanyak tujuh buah kereta dan sebuah motosikal terbabit dalam kemalangan jalan raya tersebut.
“Kejadian itu juga menyebabkan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, mangsa yang tersepit telah berjaya dibawa keluar oleh pasukan bomba dengan menggunakan alatan penyelamat.
“Mangsa telah dihantar ke hospital oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan operasi tamat pada pukul 9.54 pagi. – KOSMO! ONLINE.