KOTA BHARU – Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mengeluarkan kompaun terhadap tujuh kedai makan di Wakaf Che Yeh di sini semalam selepas didapati tidak menjaga kebersihan di kawasan premis mereka.
Yang Dipertuanya, Rosnazli Amin berkata, ketujuh-tujuh premis itu dikompaun dalam operasi yang dijalankan Unit Kebersihan Premis Makanan, Bahagian Kesihatan Awam MPKB-BRI selama dua jam bermula pukul 9 malam.
Menurutnya, kompaun sebanyak RM500 dikeluarkan terhadap premis itu mengikut Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan MPKB-BRI (Pindaan) 1990.
“Kita dapati masih ada peniaga yang tidak menjaga kebersihan di premis menjual makanan terutama ruang dapur dan tempat penyediaan makanan.
“Operasi ini bertujuan memantau tahap kebersihan premis makanan bagi persediaan cuti sekolah tidak lama lagi. Selain itu, operasi yang dijalankan juga merupakan rutin dan tugasan harian di bawah kawasan pentadbiran MPKB-BRI,” katanya ketika dihubungi Kosmo!hari ini.
Mengulas lanjut, Rosnazli berkata, MPKB-BRI memfokuskan kepada lokasi tumpuan ramai terutamanya di pasar malam, premis perniagaan di kawasan dataran, pasar raya dan di sekitar kawasan Lembah Sireh di sini. – KOSMO! ONLINE