BENTONG – Seramai 28 orang yang terdiri daripada 19 lelaki dan sembilan wanita ditahan kerana terlibat dalam aktiviti ‘parti liar’ di Genting Highlands di sini semalam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua suspek yang berumur antara 26 hingga 48 tahun dalam serbuan di sebuah rumah banglo di Genting Highlands kira-kira pukul 4 petang.
“Hasil siasatan dan pemeriksaan ujian awal saringan air kencing ke atas kesemua suspek yang berkumpul di ruang tamu banglo tersebut didapati positif dadah jenis ketamin dan amphetamin.
“Kesemua suspek ditahan remah selama satu hingga dua hari bermula 14 Februari untuk siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Menurut Ramli kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu beliau berkata, polis memberi amaran keras dan tidak akan sesekali berkompromi dalam menangani isu dadah mahupun jenayah di negeri ini.
“Kejayaan ini adalah hasil daripada maklumat orang awam dan polis mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang sentiasa peka terhadap perlakukan jenayah mahupun dadah di sekeliling mereka walaupun dilakukan di tempat yang tersembunyi.
“Polis menggesa orang ramai agar terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis khususnya berkaitan aktiviti dadah, jenayah dan lain-lain,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE