PETALING JAYA – Aktres popular Zara Zya mengaku mengambil suntikan vitamin bagi memastikan kulit wajahnya sentiasa kekal awet muda.
Ujar Zara atau nama penuhnya Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, 37, suntikan tersebut diambil atas faktor usia dan perubahan hormon yang dialaminya.
“Sebenarnya lebih kepada suntikan vitamin untuk menjadikan kulit tampil tanpa cela.
“Jika dulu susah nak jumpa klinik estetik yang sesuai, jadi apa salahnya untuk lakukan apabila ada peluang?” katanya sekali gus menepis dakwaan dia mengambil suntikan botoks.
Tambah Zara, suntikan pada wajah termasuk bahagian bibir bagi memastikannya kekal tegang terutama pada usianya sekarang yang semakin bertambah.
“Sama seperti bibir, kadang-kadang bibir jadi gelap, jadi suntikan ini memberikan kesan tegang.
“Apabila tegang, bibir akan menjadi lebih mungil dan berwarna kemerah-merahan,” ujarnya.
Dalam pada itu, pelakon drama Risik Pada Hati itu juga tidak menolak dakwaan terdapat beberapa klinik estetik yang tampil untuk menajanya melakukan suntikan.
“Memang ada beberapa klinik mahu menaja saya membuat rawatan wajah. Lagi pula, usia saya semakin meningkat dan memang wujud kedutan.
“Suntikan ini sekurang-kurangnya boleh membantu mengurangkan perkara tersebut,” ujarnya lagi.
Dia juga pada masa sama menegaskan tidak mengambil peduli dengan komen negatif yang dilemparkan terhadapnya berhubung suntikan wajah yang dilakukannya.
“Saya tidak kisah dengan pandangan orang sebab ramai sahaja yang buat, terpulanglah untuk beri pendapat masing-masing.
“Selain itu, saya adalah seorang selebriti, sudah pasti saya kena jaga penampilan secara keseluruhan. Perkara ini seperti rutin bagi golongan selebriti.
“Apa sahaja yang saya buat tetap ada kecaman dan kadang-kadang dalam video yang dimuat naik saya rasa tiada apa-apa tetapi mata netizen lebih tajam,” jelasnya.
Dramatis yang popular menerusi drama Love You Mr. Arrogant itu juga tidak kisah dengan semua persepsi negatif kerana semua yang dilakukan adalah untuk kepentingan dirinya.
“Saya tak kisah orang nak kecam dan tetap akan jaga diri saya sebaik mungkin. Terima kasih kerana ambil tahu,” katanya lagi.
Sebelum ini, Zara sering menerima komen daripada netizen yang mendakwa wajahnya kelihatan berbanding awal kemunculannya dahulu sehingga ada menuduh dia mengambil suntikan botoks. – KOSMO! ONLINE