fbpx

Usahawan nanas bimbingan Agrobank boleh jana hasil RM50,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Ahmad Badli Shah (tiga dari kiri) pada majlis perasmian Program Agro Komuniti B40 Usahawan Peladang Kontrak Tanaman Nanas MD2 di Beufort, Sabah baru-baru ini.

PETALING JAYA – Agrobank menyediakan peruntukan pembiayaan sehingga RM12 juta  kepada 40 petani kontrak daripada kumpulan B40 untuk dibimbing dan dibantu menjadi usahawan nanas berjaya dalam tempoh empat hingga lima tahun menerusi Program Agro Komuniti B40 Usahawan Peladang Kontrak Tanaman Nanas MD2.

Program yang dianjurkan dengan usaha sama strategik antara syarikat Aqina Borneo Sdn. Bhd. (Aqina Borneo) dan Koperasi Pembangunan Desa dengan Agrobank itu menawarkan pembiayaan sehingga RM280,000 seorang bagi mengusahakan tanaman nanas di tanah seluas dua hektar untuk tempoh 54 bulan (4.5 tahun).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, berkata, menerusi program ini, Agrobank akan menyediakan pembiayaan kewangan mikro kepada kesemua peserta program yang berdaftar di bawah Aqina Borneo yang akan diberikan bimbingan menjadi usahawan nanas MD2 yang berjaya dalam tempoh singkat.

“Setiap peserta program ini akan diberikan kemahiran teknikal dan ilmu pengurusan pertanian moden mengenai penanaman nanas MD2 terlebih dahulu sebelum diberikan kawasan untuk diusahakan untuk penanaman nanas. 

“Aqina Borneo akan menyediakan segala bekalan asas untuk penanaman nanas seperti sulur nanas MD2, perundingan nasihat perniagaan, penggunaan teknologi dan pasaran penjualan nanas kepada peserta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena Program Agro Komuniti B40 Usahawan Peladang Kontrak Tanaman Nanas MD2 yang dilancarkan di Beufort, Sabah baru-baru ini.

Tengku Ahmad Badli Shah menjelaskan, sepanjang program tersebut, setiap peserta program akan memperoleh pendapatan minimum tetap sebanyak RM5,000 sebulan dan boleh meraih pendapatan sehingga RM50,000 bagi setiap pusingan tanaman yang diusahakan sehingga tempoh lima tahun.

Tambah beliau, tanaman nanas MD2 adalah sumber perniagaan yang sangat menguntungkan.

“Sekiranya dikendalikan dengan betul dan secara konsisten penanam nanas boleh memperoleh hasil bulanan yang lumayan dan berterusan.

“Pasaran nanas MD2 di dalam dan luar negara juga amat luas, kerana hasil pendapatan bukan hanya terhenti di peringkat penanaman buah, malah jus dan sulur nanas juga mempunyai tempat dan nilai tersendiri di pasaran global,” tambah beliau. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI