GAGAL mencapai sasaran pada Piala Dunia Hoki 2023 di India hujung bulan lalu tidak boleh merumuskan keseluruhan prestasi skuad hoki negara sepanjang kempen tersebut.
Speedy Tigers melonjak ke ranking kesembilan dunia pada pertengahan saingan berbanding kedudukan ke-11 ketika memulakan kejohanan di dua buah bandar di Odisha, Bhubaneswar dan Rourkela.
Sasaran muncul lapan terbaik dunia hampir tercapai sebelum segalanya musnah gara-gara kalah dalam perlawanan yang salah ketika tewas penalti shoot-out kepada Sepanyol di peringkat crossover.
Skuad negara sekali lagi terpaksa membuang banyak masa dan tenaga dari segi perjalanan kerana perlu terbang semula ke Rourkela dari Bhubaneswar buat kali kedua untuk menghadapi aksi klasifikasi 9 hingga 16.
Format pertandingan lebih menguntungkan pasukan tercorot setiap kumpulan berbanding lawan yang tewas di crossover contohnya Afrika Selatan yang berada di Rourkela dengan tempoh rehat selama enam hari.
Elemen itu memberikan kesan kepada skuad negara apabila menamatkan kempen di kedudukan ke-13 dan kekal pada ranking ke-11 dunia. Begitupun, pemain negara tetap mendapat pujian daripada hampir semua pengamal media dan penganalisis hoki.
Wartawan berpengalaman Times of India Sports, Jaspreet Singh Sahni tidak menolak kemungkinan Malaysia boleh meraih pingat emas Sukan Asia di Hangzhou, China, September ini.
Seorang lagi penulis ‘otai’ dari India, Sandeep Singh yang cukup masak dengan sukan hoki benua Asia juga senada dengan pandangan itu sekiranya Speedy Tigers menampilkan prestasi sama seperti empat perlawanan awal.
“India menang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 tetapi permainan Malaysia jauh lebih menarik.
“Tak mustahil pingat emas di Sukan Asia nanti boleh menjadi milik Malaysia. Jangan lupa Malaysia hampir-hampir untuk memenanginya dahulu di Indonesia (Sukan Asia 2018),” katanya.
Secara peribadi, Speedy Tigers perlu melupakan episod Piala Dunia dan fokus kepada pingat emas Sukan Asia kerana ia menawarkan slot automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Ia akan menjadi emas pertama Malaysia dalam acara hoki di Sukan Asia, sekali gus menamatkan penantian 23 tahun ke Olimpik sejak kali terakhir melakukannya pada edisi Sydney 2000.
Bagi merealisasikannya, ketua jurulatih, A. Arul Selvaraj mahukan anak-anak buahnya mendapat sebanyak mungkin perlawanan berintensiti tinggi menentang Australia dan pasukan-pasukan dari benua Eropah.
Malah, Arul turut mencadangkan empat semi finalis Piala Dunia Hoki 2023 termasuk juara, Jerman, Belanda, Belgium dan Australia selain India dijemput beraksi pada edisi Piala Sultan Azlan Shah tahun ini.
Jerman, Belanda dan Belgium dijangka berminat kerana ia menjadi pentas persediaan buat mereka sebelum menghadapi Kejohanan Hoki Eropah dijadualkan berlangsung pada Ogos nanti.
“Kita akan cuba ke Australia dan Eropah untuk mendapat perlawanan di sana. Pada masa sama, saya harap Jerman, Belanda, Belgium dan Australia selain India sudi bermain di Piala Sultan Azlan Shah.
“Jika kejohanan dibuat sekitar Jun atau Julai, ia waktu tepat kerana liga-liga hoki di Eropah telah tamat. Mereka boleh jadikannya sebagai pentas persediaan sama seperti kita dan India untuk Sukan Asia,” jelasnya.