fbpx

SPRM tumpu kepada kes berskala besar, bukan lagi menangkap ‘bilis’ – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan sasaran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika ini adalah berkaitan kes berskala besar bagi menyelamatkan wang rakyat.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata, ini kerana kes-kes kecil dengan penangkapan ‘bilis’ tidak akan membantu kerana rasuah sudah menjadi sesuatu yang sistemik.

Jelas Anwar, SPRM juga akan melaksanakan siasatan dan pencegahan yang berkesan dan pada masa sama meningkatkan keyakinan masyarakat, dalam usaha kerajaan menangani rasuah.

“Penumpuan SPRM sekarang adalah kes-kes rasuah berskala besar, kerana kalau dulu terlalu banyak masa dan tenaga tertumpu untuk menangkap ikan-ikan bilis yang tak akan banyak membantu kerana rasuah sudah menjadi sesuatu yang sistemik.

“Kes-kes skala besar termasuklah skandal air di Sabah melibatkan kemudahan infrastruktur mencecah RM3.3 bilion menerusi Ops Water dan setakat ini aset ‘discovery’ adalah sebanyak RM63 juta dan kes masih di mahkamah,”katanya pada Sesi Pertanyaan Menteri (MQA) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Lo Su Fui (GRS-Tawau) mengenai strategi penambahbaikan untuk memastikan penyiasatan kes rasuah mendatangkan impak yang nyata.

Tambah Anwar kes kedua yang sedang disiasat adalah berkaitan sindiket bitcoin yang telah mencuri bekalan elektrik dengan kerugian sehingga RM2.3 bilion bagi tempoh 2018 sehingga 2021.

“Ketiga, adalah tuntutan palsu dana insentif semasa Covid-19 melibatkan Program Penjana Kerjaya dan telah telah berjaya selamatkan sebanyak RM426 juta.

“Kemudian, sindiket pengurangan saman trafik yang juga melibatkan kelompok-kelompok dalam sindiket serta kartel dalan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mencecah jutaan ringgit,” ujarnya.

Anwar menambah, beliau percaya penumpuan kepada kes skala besar yang telah dan sedang dijalankan akan memastikan rakyat, penjawat awam dan pimpinan politik sedar bahawa SPRM lebih agresif seperti yang dititahkan dalam Titah Diraja semalam.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI