fbpx

Prestasi ekonomi 2022 tidak gambar situasi sebenar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Prestasi ekonomi negara pada tahun 2022 mencatat pertumbuhan 8.7 peratus tidak menggambarkan realiti sebenar kerana pertumbuhan mengikut suku tahun mencatat penurunan.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, trend pertumbuhan ekonomi Malaysia yang menurun sepanjang tahun lalu membimbangkan kerana negara berisiko terus ketinggalan berbanding negara ASEAN lain.

Menurut beliau, pada suku pertama 2022, ekonomi negara berkembang 3.8 peratus, suku kedua turun sikit 3.5 peratus dan suku ketiga jatuh kepada 1.9 peratus

“Namun yang membimbangkan saya apabila tiba suku keempat ekonomi Malaysia menguncup kepada -2.6 peratus.

“Bank Dunia pula meramalkan pada 2023 dan 2024 Malaysia hanya diunjur berkembang empat peratus dan turun 3.9 peratus pada 2024 yang bermakna ekonomi menurun lebih rendah berbanding purata perkembangan ekonomi sebelum Covid-19 antara 2017 hingga 2019 pada purata lima peratus.

“Jika dibandingkan negara ASEAN lain, Bank Dunia ramalkan Indonesia berkembang 4.8 peratus pada 2023 dan 4.9 peratus pada 2024. Filipina 5.4 peratus (2023) dan 5.9 peratus (2024). Vietnam diunjur berkembang 6.3 peratus (2023) dan 6.5 peratus (2024).

“Ini angka yang sepatutnya menjadi kebimbangan kita sebagai sebuah negara dan kerajaan untuk lihat bagaimana boleh menamatkan trend ini,” katanya ketika mencadangkan usul Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Johari berkata, beliau bimbang jika trend itu berterusan dan unjuran Bank Dunia menjadi kenyataan akan menyebabkan peningkatan pengangguran dan pendapatan isi rumah tidak dapat menampung peningkatan kos sara hidup rakyat.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan kebimbangan dengan hasil keseluruhan Kerajaan Persekutuan tidak mencatat peningkatan ketara iaitu RM221 bilion pada 2021 hampir menyamai tahun 2017 iaitu RM220 bilion.

Ujar beliau, situasi itu merisaukan kerana penurunan hasil menyebabkan kerajaan berdepan defisit besar yang meningkat hampir RM100 bilion atau 5.6 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lalu berbanding tiga peratus pada 2017.

Jelas beliau, pada tahun 2017 faedah hutang dibayar setahun hanya RM27.9 bilion atau 12.6 peratus daripada hasil kerajaan, tetapi tahun lalu ia meningkat kepada lebih RM43 bilion atau 14.6 peratus daripada hasil kerajaan.

“Pendapatan kurang, KDNK terkesan, defisit membesar, hutang meningkat antara cabaran negara hari ini untuk lihat keupayaan kita berdepan isu yang menyebabkan ekonomi kita terkesan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan mencari jalan mengurangkan kebergantungan kepada Petronas hingga menyebabkan agensi penarafan antarabangsa menurunkan penarafan syarikat petroleum negara.

Kata beliau, kerajaan secara purata antara 2018 hingga 2022 mengambil hampir RM60 bilion daripada Petronas, namun pada 2022 subsidi petrol dan diesel mencecah hampir RM80 bilion menyebabkan setiap pendapatan Petronas tidak dapat digunakan untuk membangunkan negara, sebaliknya hanya untuk subsidi.

Selain itu, beliau menyebut tentang Malaysia ketinggalan sebagai destinasi pelaburan pilihan berbanding Indonesia dan Vietnam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI