PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi bayangan mungkin akan mengatur aksi persahabatan antarabangsa melibatkan Harimau Malaya di serata negara apabila proses menaik taraf Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bermula, Mac depan.
Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman mengakui badan induk itu mengambil pendekatan terbuka untuk memastikan peminat skuad kebangsaan dapat menyaksikan barisan pemain dengan lebih mudah selepas ini.
Kata Noor Azman, buat masa ini pihak pengurusan masih lagi dalam fasa perbincangan untuk mengadakan beberapa siri aksi persahabatan sepanjang kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di luar Lembah Klang.
“Secara peribadi, FAM memang ada perancangan untuk membuat kelainan bagi menganjurkan aksi persahabatan skuad Harimau Malaya di negeri-negeri tertentu.
“Ini adalah satu idea yang menarik kerana mereka yang berada di luar Lembah Klang tidak perlu menempuh perjalanan jauh seperti sebelum ini.
“Cuma, buat masa ini ia masih dalam peringkat perbincangan dengan pertimbangan dilakukan untuk melihat kesesuaian venue terutama membabitkan kualiti padang serta beberapa perkara lain,” katanya.
Difahamkan, skuad Harimau Malaya hampir pasti mengadakan aksi persahabatan antarabangsa pada Mac depan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Namun, beberapa venue lain turut menjadi pilihan seperti Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu untuk zon timur dan Stadium Batu Kawan (Pulau Pinang) bagi zon utara.