PETALING JAYA – Bekas isteri Radhi OAG memberitahu bahawa penyanyi lelaki itu menjerit dengan kata-kata kesat sebelum berlaku pergaduhan di parkir sebuah kondominium di Damansara di sini tahun lalu.
Nur Shaira Ayu Zahiri, 29, berkata, bekas suaminya itu memaki hamunnya dengan mengatakan ‘kau ingat kau bagus, kau ingat kau cantik’ hanya kerana dia enggan berswafoto.
Menceritakan kejadian pada 19 April tahun lalu itu, saksi pendakwaan pertama tersebut memberitahu, semuanya bermula apabila dia dan kakaknya mahu mengambil anak lelaki mereka di kondominium tersebut.
“Saya tidak datang seorang tetapi bersama kakak, anak perempuan dan tiga lagi anak buah. Apabila sampai di situ (rumah Radhi), saya kemudian terus naik ke atas bersama tiga anak buah.
“Sampai di rumah Radhi, saya terus mengambil anak lelaki yang sedang tidur di atas sofa lalu turun ke lobi,” ujarnya.
Bercerita lanjut, ibu dua anak itu berkata, selepas turun ke parkir, Radhi ada meminta untuk berbincang mengenai isu anak di tepi kereta sebelum pulang.
“Radhi kemudian mengajak saya untuk berswafoto dalam kereta menggunakan telefonnya. Saya cakap tidak mahu rakam gambar macam itu, tak perlu nak peluk dan berswafoto kerana sudah bercerai.
“Kalau nak bergambar, ambil di luar kereta dan di situ permulaan Radhi marah. Dia jerit depan muka saya termasuk mengeluarkan perkataan kesat kerana marah kenapa tidak boleh berbaik untuk ambil gambar.
“Saya cakap elok-elok kenapa perlu marah? Kita ada kehidupan masing-masing dan tidak perlu ambil gambar sebegini,” kata saksi itu semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamed Wafi Hussain.
Katanya berikutan itu, berlaku insiden tolak menolak dan berlaku pergaduhan sebelum kakaknya datang meleraikan situasi tegang yang berlaku.
Nur Shaira berkata, ekoran kejadian itu, dia membuat laporan di Balai Polis Kota Damansara pada hari sama selain mengesahkan terdapat kesan lebam pada tangannya akibat kejadian tersebut.
Dalam prosiding hari ini, ketika pemeriksaan balas peguam Haziq Aizuddin Subhi yang mewakili Radhi, Nur Shaira mengakui dia juga ada memukul tertuduh untuk mempertahankan diri.
Perbicaraan di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol bersambung lagi pada 21 Jun depan.
Mengikut pertuduhan, Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali, 46, didapati dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Nur Shaira Ayu di parkir Emporis Menara D Kota Damansara, di sini, pukul 2.29 petang pada 19 April 2022.
Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 14 April 2014 dan dikurniakan dua anak, Muhammad dan Nur Aisyah berusia enam dan tujuh tahun. – KOSMO! ONLINE