fbpx

Lebih RM25 juta berjaya dikumpul untuk mangsa gempa Turkiye-Syria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika berucap pada Majlis Sumbangan Dana Bencana Turkiye- Syria di Kompleks Seri Perdana hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

PUTRAJAYA – Sebanyak RM25 juta berjaya dikumpulkan menerusi Majlis Sumbangan Dana Bencana bagi meringankan beban mangsa tragedi gempa bumi di Turkiye dan Syria.

Majlis penyerahan sumbangan dana itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.

Sumbangan terbesar diterima daripada Yayasan Albukhary berjumlah RM10 juta, Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (RM4.4 juta), Brahim Dewina Group (RM3 juta) dan YTL Corporation Bhd. (RM2 juta).

Penyumbang lain termasuk Yasayan Sime Darby sebanyak RM1.5 juta, NGO India Muslim (RM1.5 juta), Tenaga Nasional Bhd. (RM500,000), FGV Holdings Bhd ((RM500,000), Ranhill Holdings Bhd. (RM300,000) dan Microlink Solution Bhd. (RM100,000).

Sementara itu, Anwar dalam ucapannya berkata, majlis sumbangan dana tersebut sepatutnya berlangsung esok, namun diawalkan kerana beliau akan berangkat ke Turkiye malam ini.

Menurutnya, beliau dijadual bertemu Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan melawat mangsa gempa di negara itu sebelum bertolak pulang ke Malaysia pada esok.

“Setelah bercakap panjang dengan Erdogan, saya tidak dapat bayangkan kegelisahan beliau dan sebagai sahabat, elok saya turun secara peribadi.

“Langkah kerajaan membantu Turkiye adalah sebagai membalas jasa baik negara itu yang banyak membantu termasuk syarikat negara terutama ketika berhadapan pandemik Covid-19,” katanya.

Ujar beliau, tragedi gempa bumi yang berlaku di Turkiye-Syria adalah antara paling buruk dalam sejarah selain kejadian tsunami melanda Acheh, Indonesia sebelum ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI