PETALING JAYA – Pemain industri automotif tempatan memohon kerajaan supaya melanjutkan pengecualian cukai dan duti eksais bagi kenderaan elektrik (EV) yang diimport sepenuhnya (CBU) melangkaui tahun 2023 pada pembentangan bajet minggu depan.
Pengarah Urusan Jaguar Land Rover Malaysia, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz berkata, ketika sektor automotif tempatan sedang bergerak ke arah elektrifikasi, banyak model EV telah dilancarkan sejak 2021 dan industri ini terus dipacu melalui insentif pengecualian cukai yang diberikan oleh kerajaan.
“Kami berharap supaya inisiatif ini dapat dipanjangkan lagi kerana terdapat banyak model-model EV yang tidak sempat dibawa masuk sepanjang tempoh yang terhad ini dan banyak industri baharu dibuka semula selepas Covid-19.
“Langkah ini dapat meneruskan permintaan bagi EV di Malaysia yang kini berada pada paras yang tinggi untuk tempoh beberapa tahun lagi supaya lebih banyak teknologi hijau dapat dibawa masuk ke Malaysia bermula dengan model CBU dan sekiranya ada kesempatan pula, perancangan untuk pemasangan tempatan pula selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pelancaran model kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah, Range Rover L460 generasi ke-5 di Sime Darby Auto City, di sini semalam.
Sebelum ini, kerajaan terdahulu pada pembentangan Bajet 2023 berhasrat melanjutkan insentif pengecualian cukai dan duti eksais bagi EV CBU sehingga 31 Disember 2024.
Mengulas mengenai sejauh mana tempoh yang sesuai untuk lanjutan pengecualian cukai berkenaan, Syed Ahmad Muzri berkata, ia terpulang kepada pihak kerajaan dan beliau pasti kerajaan akan menjalankan penyelidikan mendalam sebelum melanjutkannya melangkaui 2023 yang kini hanya tinggal 10 bulan lagi.
Dalam pada itu, Syed Ahmad Muzri menjelaskan, harga Range Rover L460 bermula daripada RM1.268 juta bagi jualan di Langkawi dan Labuan, manakala harga untuk model dengan cukai yang telah berbayar bermula RM2.48 juta.
Tambah beliau, buat masa ini pihaknya hanya membawa masuk model dengan enjin 4.4 liter V8 twin turbo berkuasa 530PS yang mampu menghasilkan tork 750Nm pada putaran enjin 1,800 hingga 4,600 rpm.
“Permintaan yang diterima di luar jangkaan, kami akan memenuhi tempahan yang telah pun dibuat oleh peminat setia model ini sejak Oktober 2021 lagi, sewaktu pertama kali dilancarkan di United Kingdom.
“Bagi pelanggan yang membuat tempahan tahun ini, kami menjangkakan penyerahan dapat dibuat pada separuh tahun kedua 2023,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE