TAMPIN – Ladang Integrasi Tentera Darat yang kini sedang diusahakan dengan projek tanaman sayur-sayuran bakal diperluaskan ke aktiviti ternakan seperti ayam dan ikan.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain berkata, langkah itu adalah bagi mengurangkan beban sara hidup warga tentera apabila mereka dapat membeli sayur-sayuran dengan harga 30 peratus lebih rendah berbanding harga di pasaran.
Malah menurutnya, selain bertujuan menampung keperluan warga tentera, isteri serta anak-anak tentera yang tinggal berdekatan kem juga boleh bekerja di ladang berkenaan serta mendapat bayaran setimpal seperti bekerja di luar.
“Macam di sini, contohnya harga cili di pasaran sekitar RM30, tentera boleh beli RM20. Jadi kita rancang untuk perluaskan ke semua zon iaitu Utara, Tengah, Selatan serta Sabah dan Sarawak bagi memanfaatkan tanah-tanah yang ada di dalam kem untuk keperluan warga tentera darat sendiri,” katanya semasa ditemui pemberita sempena Majlis Perasmian Ladang Integrasi Tentera Darat di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai persepsi orang awam terhadap tugas tentera susulan kewujudan ladang integrasi di kem tentera, Zamrose menegaskan tugas tentera tetap sama.
“Tugas hakiki tentera tetap sama, cuma ini adalah pendekatan kita untuk mengurangkan beban sara hidup dengan harga sayur-sayuran lebih murah. Anak, isteri boleh berkerja dan tanah terbiar di kem dapat dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Brahim’s Dewina, Datuk Seri Ibrahim Ahmad berkata, pihaknya hanya mampu menggunakan sekitar 50 peratus sahaja daripada jumlah tanah bagi tujuan ladang integrasi dengan pulangan sekitar RM25,000 hingga RM35,000.
“Sekiranya kesemua tanah dimanfaatkan, jumlah pulangan dianggarkan sekitar RM50,000 hingga RM60,000 sebulan. Hasil tanaman ini akan dipasarkan di Kiosk Tani Markas Garrison pada harga jauh lebih rendah dari pasaran.
Malah menurutnya, jika perancangan dapat dilaksanakan secara keseluruhan dengan projek ternakan pula, pihaknya boleh memanfaatkan najis ayam sebagai baja di ladang.
“Pelancaran ladang ini adalah bukti idea murni untuk mengurangkan risiko dan mempersiapkan diri menghadapi krisis atau kekurangan makanan pada masa hadapan,” katanya. -KOSMO! ONLINE.