KUANTAN – Kos pembinaan jalan difahamkan mencecah jutaan ringgit bagi 1 kilometer, namun jalan raya yang dibina cepat rosak seperti berlubang dan sebagainya.
Itulah hakikat yang menjadi persoalan dalam kalangan masyarakat, berapakah sebenarnya nilai jalan dinikmati rakyat berbanding kos jutaan ringgit yang dibelanjakan.
Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi berkata, isu jalan rosak hingga tidak dapat bertahan lama antara isu kualiti yang boleh dipersoalkan.
Katanya, isu ini perlu diberi perhatian kerana bukan sahaja melibatkan duit rakyat dan keselesaan rakyat, malah turut mengancam nyawa pengguna jalan raya.
Ujarnya, selain memastikan faktor kualiti dalam proses pembinaan jalan, antara perkara lain yang boleh dilihat ialah kerenah birokrasi dalam penyaluran peruntukan perlu juga dilihat semula oleh kerajaan.
“Meskipun Malaysia mempunyai bahan mentah bagi membina jalan, namun hakikatnya kos membina jalan bagi satu kilometer mencecah jutaan ringgit.
“Peruntukan jalan ini biasanya Kementerian Kewangan beri kepada Kementerian Kerja Raya, seterusnya diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR). Kemudian ia diberi kepada konsesi bagi kontraktor utama dan di serahkan pula kepada sub kontraktor dan berlapis lagi.
“Itulah birokrasi, peruntukan ratus juta, tapi yang nilai rakyat dapat atas jalan mungkin tak sampai jumlah itu,” katanya di sini semalam.
Berita berkaitan: Jalan di Malaysia ibarat baju koyak ditampal-tampal
Beliau berkata, pihak berkaitan perlu memantau dan memeriksa kualiti jalan yang dibina di seluruh negara.
Ujarnya, terdapat dakwaan bahawa jalan tar yang dibina terlalu nipis, sedangkan standard biasa sekurang-kurangnya 0.127 meter (5 inci).
Selain itu, katanya, pembinaan jalan juga perlu mengambil kira penggun aan kenderaan berat.
Ia perlu dibina dengan standard industri dengan penambahan bahan konkrit.
“Biasanya ia boleh tahan 20 tahun jika dibuat mengikut kandungan, saliran dan ketebalan yang betul,” ujarnya.