fbpx

Kontraktor lari, rumah mentua Mark Adam tak sempat siap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMBINAAN kediaman baharu untuk mentua Mark Adam sudah dimulakan sejak tujuh bulan lalu.

PETALING JAYA – Hajat Mark Adam untuk menggembirakan bapa dan ibu mentua dengan menyiapkan rumah baharu mereka sebelum Aidilfitri ini bagai sukar direalisasikan apabila kontraktor yang diamanahkan menyempurnakan misi hilang entah ke mana.

Penyanyi itu berang kerana bayaran penuh sudah dilunaskan untuk pembinaan kediaman dua tingkat itu sejak tujuh bulan lalu namun tiada sebarang perkembangan dapat dilihat.

“Baru-baru ini saya buat rumah untuk ayah dan mak mentua tetapi bermasalah. Rumah ini dah mula dibina tujuh bulan lepas, kalau tengok struktur pun belum sempurna.

“Mereka pun sudah janji nak siapkan tangga, namun sampai sekarang tak siap-siap lagi. Sudahlah bayar penuh, syarikat tersebut minta lagi wang tambahan RM80,000.

“Macam mana nak bayar kalau rumah pun belum siap. Sekarang mereka hilang bawa sekali barang-barang termasuk timbunan simen yang dibeli dengan duit saya.

“Saya telah berjanji dengan ibu dan bapa mentua yang mereka boleh berpindah di rumah baharu sebelum hari raya tahun ini, tak tahu macam mana,” katanya dalam perkongsian video Instagram.

Pelantun lagu Pencuri itu turut menyatakan sehingga kini kontraktor dimaksudkan tidak memulangkan kunci pendua hingga dia terpaksa menukar kunci mangga baharu.

“Tengok keadaan sekarang, saya sebagai tuan rumah pun tak dapat masuk sebab salinan kunci yang diserahkan sebelum ini tidak dikembalikan,” luahnya lagi.

Menurut Mark, dia terpaksa menyalurkan permasalahan berkenaan kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan lebih ramai orang menjadi mangsa mereka yang suka mengambil kesempatan.

Sementara itu, dalam ruangan komen ramai pengikut dan rakan selebriti memberikan kata-kata positif supaya dia tidak patah semangat berdepan masalah berkenaan.

Malah ramai menyokong tindakan undang-undang yang diambil supaya pemilik serta syarikat tersebut dikenakan hukuman setimpal.

“Semoga dipermudahkan urusan,” kata pelakon, Fendy Bakry.

“Buat repot polis dan jangan lupa saman kontraktor itu,” ujar seorang netizen.

Pada 2019, anak seni asal Filipina itu pernah membuat kejutan kepada ibunya yang tinggal di kampung mereka di Manila dengan menghadiahkan sebuah banglo. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI