SELAIN menggunakan enjin carian Google, media sosial kini menjadi antara sumber rujukan fesyen popular dalam kalangan mereka yang mencari gaya peribadi dengan identiti diri.
Pengguna media sosial yang kerap memuat naik outfit of the day atau lebih dikenali sebagai OOTD sering kali menjadi rujukan para penggemar fesyen dalam menata gaya harian.
Justeru, bagi memudahkan lagi para penggemar fesyen tanah air, label fesyen terkenal tanah air yang dikenali sebagai Hanya mewujudkan sebuah komuniti dalam media sosial.
Ia bertujuan mengumpul para pencipta kandungan fesyen dalam media sosial (content creator) bagi berkongsi idea dalam bergaya.
Menerusi program itu juga, pencipta kandungan media sosial boleh meletakkan diri mereka pada platform yang betul untuk lebih dikenali serta menjalin kerjasama dengan jenama-jenama fesyen terkenal tanah air.
Komuniti dikenali sebagai Friends of Hanya itu dilancarkan pada pertengahan tahun lalu dan mendapat sambutan sangat menggalakkan.
Pengasas bersama jenama Hanya, Veen Dee berkata, inisiatif itu adalah cukup istimewa dan begitu dekat di hatinya.
“Program ini cukup dekat dengan hati saya memandangkan saya juga merupakan seorang pencipta kandungan media sosial.
“Menerusi program ini, saya berpeluang bekerja dan menjalin kerjasama dengan jenama-jenama lain yang disukai,” jelasnya.
Justeru, Dee berhasrat mewujudkan satu komuniti dan ruang yang mana semua pencipta kandungan media sosial boleh menonjolkan sisi kreatif mereka dalam berfesyen.
“Apabila menyertai komuniti Friends of Hanya, anda akan menerima produk fesyen daripada kami secara konsisten. Produk fesyen itu boleh digayakan mengikut kreativiti anda sendiri.
“Gaya-gaya fesyen harian mereka seterusnya akan dimuat naik menerusi Instagram, @friendsofhanya sebagai panduan kepada orang lain.
“Pada masa sama, ia menjadi medium kepada para pencipta kandungan untuk lebih dikenali oleh jenama-jenama lain,” ujarnya.
Menerusi program ini juga, Hanya turut menonjolkan kerja belakang tabir melibatkan penataan gaya di media sosial yang mungkin tidak begitu diketahui ramai.
Kerjaya sebagai pencipta kandungan media sosial biasanya dianggap penuh glamor.
Hakikatnya, tidak ramai yang tahu bahawa banyak perkara lain yang berlaku di belakang tabir.
Misalnya, merancang ‘moodboard’ dan draf-draf yang ditolak, hanya untuk menghasilkan sebuah video berdurasi sekitar enam minit.
Untuk makluman, Hanya diasaskan oleh Dee bersama suaminya, Tiong Haan yang merupakan seorang arkitek dan usahawan.
Bukan sekadar jenama fesyen tempatan, Hanya juga amat menitikberatkan pakaian mesra alam dengan mengitar semula sisa buangan setiap pakaian yang dihasilkan.
“Kami percaya bahawa dalam berfesyen, ia tidak hanya terhad terhadap helaian pakaian yang dihasilkan.
z“Pada masa sama, kami percaya ia mewujudkan hubungan emosi antara si pemakai dengan koleksi kami,” katanya.