TAMPIN – Pasukan komando Tentera Darat akan meneruskan pencarian Lans Koperal Edrin Baintim, 25, yang dikhuatiri lemas di perairan Pulau Undan Selasa lepas sehingga hari ke-10 kehilangan.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain berkata, kehilangan anggota komando berkenaan kini masuk hari ke-8 dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) tertentu operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilaksanakan sebelum ini dihentikan setelah hari ke-7 pencarian.
“Saya rasa semua orang tahu dah lapan hari Lans Koperal Edrin hilang dan kita pun dah mencari dari hari mula hilang sampailah sekarang. Semalam, saya difahamkan mengikut SOP tertentu setelah tujuh hari SAR dihentikan tapi kita komando dan polis akan teruskan sampai 10 hari.
“Sekiranya hari ke-10 masih tidak jumpa kita hentikan dan biarkan kepada agensi-agensi yang membuat rondaan seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin, nelayan untuk memaklumkan kepada balai polis berhampiran sekiranya menjumpai mangsa,” katanya semasa ditemui sempena Majlis Perasmian Ladang Integrasi Tentera Darat di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai status pencarian Lans Koperal Edrin setelah SAR ditangguhkan bermula malam tadi.
Pengarah APMM Melaka dan Negeri Sembilan Kapten Maritim Iskandar Ishak berkata, keputusan itu diambil susulan pencarian anggota tentera pelatih penyelam yang hilang hampir seminggu gagal menunjukkan tanda-tanda penemuan baharu.
Ujar Iskandar, walaupun SAR yang memasuki hari ketujuh itu ditangguhkan namun aset maritim serta agensi sahabat akan meneruskan rutin rondaan seperti biasa dan pihak Maritim Malaysia akan memberi makluman dari semasa ke semasa sekiranya terdapat petunjuk atau penemuan terbaharu.
“Jumlah keseluruhan penglibatan dari hari pertama SAR diaktifkan adalah seramai 510 anggota dan sebanyak 22 aset telah diatur gerak terdiri daripada 18 aset di laut dan empat aset di udara dengan luas sektor pencarian lebih kurang 1,040 kilometer persegi,” katanya. -KOSMO! ONLINE.