JAKARTA – Salah seorang pegawai polis paling kanan di Indonesia dijatuhi hukuman mati kelmarin berhubung pembunuhan pengawal peribadinya.
Ferdy Sambo yang merupakan jeneral dua bintang dan bekas ketua hal ehwal siasatan dalaman polis Indonesia, dinamakan suspek selepas pengawal peribadinya ditemui mati di kediaman Ferdy pada Julai 2022 dalam kes pembunuhan yang pada awalnya didakwa disembunyikan oleh pihak polis.
Dia dituduh mengarahkan orang bawahannya menembak Brigedier Nofriansyah Yosua Hutabarat, 27, dan kemudian turut melepaskan satu das tembakan ketika mangsa sedang cedera.
Ferdy ditangkap pada Ogos 2022 dan dipecat September tahun lalu, sebelum perbicaraan selama beberapa bulan yang menjadi tajuk berita utama di Indonesia mendedahkan kekebalan polis di negara kepulauan itu.
“Mahkamah mengisytiharkan defendan Ferdy Sambo bersalah melakukan jenayah ini dan merancang pembunuhan dan menjatuhi hukuman mati terhadap tertuduh,” kata Hakim Wahyu Iman Santoso kepada mahkamah.
Ferdy mempunyai masa seminggu untuk mengemukakan rayuannya.
Orang awam yang menghadiri perbicaraan itu terkejut dan tidak menjangka tertuduh dijatuhi hukuman maksimum. Ketika Ferdy dibawa keluar dari kamar mahkamah, dia dikerumuni oleh petugas media.
Apabila kematian Nofriansyah diketahui umum, polis pada mulanya berkata bahawa seorang anggota keselamatan lain telah membunuh mangsa selepas menangkap dia melakukan serangan seksual terhadap isteri Ferdy.
Bagaimanapun, isteri Ferdy diberkas beberapa minggu kemudian.
Polis tidak mendedahkan pembunuhan itu selama berhari-hari dan berkata, kamera sistem televisyen litar tertutup (CCTV) tidak berfungsi semasa Nofriansyah dibunuh. Hakim berkata, rakaman CCTV itu dipadamkan oleh seorang konco Ferdy.
Dalam pada itu, Putri Candrawathi yang merupakan isteri tertuduh turut dijatuhi hukuman penjara 20 tahun kelmarin, jauh lebih lama daripada berbanding hukuman lapan tahun yang diminta oleh pendakwa raya. – AFP