LONDON – Ketua pengadil Liga Perdana Inggeris, Howard Webb mengadakan mesyuarat tergempar dan memanggil semua pengadil ekoran dua keputusan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang menimbulkan kontroversi.
Kekecohan timbul ekoran pegawai VAR yang bertugas untuk aksi Arsenal menentang Brentford, Lee Mason didakwa tersilap membuat keputusan mengenai kedudukan ofsaid pemain The Bees sebelum gol penyamaan terhasil.
Sementara itu, dalam perlawanan melibatkan Crystal Palace menentang Brighton di Selhurst Park, pegawai VAR, John Brooks juga dilaporkan membuat kesilapan sama membatalkan gol jaringan Pervis Estupinan.
Menurut sumber, Webb terkejut dengan dua kontroversi berkenaan dan tidak menolak kemungkinan untuk menggantung tugas kedua-dua pegawai berkenaan sekiranya terbukti ia adalah kerana kesilapan yang dilakukan mereka.
Badan pengurusan pengadilan itu dilaporkan sudah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan melakukan siasatan untuk mengenal pasti sama ada ia melibatkan kecuaian.
Kenyataan itu terpaksa dikeluarkan apabila kedua-dua kelab tersebut berang dengan keputusan berkenaan kerana ia menjejaskan peluang masing-masing musim ini.
– AGENSI