KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak merancang untuk memansuhkan hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) secara bersasar kepada golongan miskin dan isi rumah B40 buat masa ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan bagaimanapun sentiasa prihatin dan memberi perhatian kepada peminjam PTPTN dan kemudahan membayar balik pinjaman.
Jelas beliau, cadangan pemansuhan hutang pinjaman kepada golongan itu diunjurkan melibatkan seramai 1.84 juta peminjam dengan jumlah pelupusan hutang sebanyak RM42.34 bilion.
“Terdapat pelbagai cara dan inisiatif dilakukan dalam usaha memudahkan peminjam daripada golongan itu termasuk penangguhan bayaran balik jika menyambung pengajian atau belum dapat pekerjaan dan penstrukturan semula bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan.
“Pemberian diskaun bayaran balik jika dilakukan bayaran secara sekaligus dengan penuh dan bayaran balik hanya bermula selepas 12 bulan peminjam menamatkan pengajian,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE