PETALING JAYA – Sekretariat Aid4Turkiye&Syria iaitu gabungan 33 badan bukan kerajaan seluruh negara menyasarkan sumbangan RM1 juta bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.
Pengarah sekretariat, Mohd. Yusni Matpiah berkata, sumbangan bagi fasa pertama itu adalah untuk membeli keperluan kritikal ketika ini seperti baju sejuk, makanan serta ubat-ubatan.
“Pihak Aid4Turkiye&Syria juga akan mendirikan khemah sebagai penempatan sementara mangsa kerana khemah yang sedia ada tidak mencukupi sehingga ada yang terpaksa tidur dalam kereta dan khemah sementara.
“Misi pertama sekretariat Aid4Turkiye&Syria akan bertolak ke negara terbabit Khamis ini dan seramai 12 orang sukarelawan akan digerakkan ke tempat kejadian bagi menghulurkan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusni berkata, misi kedua pula adalah pada 21 Februari melibatkan empat pegawai perubatan yang akan membantu mangsa di penempatan sementara.
“Di samping itu pihak pusat koordinasi bantuan antarabangsa di bawah PasRelief yang bertempat di Bascule Plaza Istanbul juga telah digerakkan sejak hari pertama kejadian.
“Bantuan segera sebanyak RM100,000 telah pun sampai ke lokasi untuk membantu kesusahan mangsa,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh salurkan sumbangan ke nombor akaun Bank Islam Malaysia Berhad 2122 0100 40554 (Pertubuhan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana Sejagat Malaysia). – KOSMO! ONLINE