MIRI – Polis menahan empat individu termasuk seorang wanita selang beberapa jam selepas disyaki membunuh seorang lelaki warga asing di Jalan Lapangan Terbang Miri semalam.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 40 hingga 48 tahun ditahan kira-kira pukul 10 malam di kawasan Senadin.
Beliau berkata, penahanan kesemua suspek dibuat susulan laporan orang awam kira-kira pukul 7.25 malam, yang memaklumkan satu pergaduhan berlaku di kawasan Jalan Lapangan Terbang Miri.
“Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Miri (BSJD Miri) telah bergegas ke tempat kejadian dan hasil pemeriksaan di kawasan berkenaan menemui seorang lelaki terbaring di atas tanah dengan kesan tusukan di badan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Ekoran itu, polis telah menahan tiga lelaki dan seorang wanita warga asing bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.,” katanya dalam kenyataan, hari ini.-KOSMO! ONLINE