fbpx

Taman Nagasari diserbu, 35 PATI diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian 35 PATI yang diberkas dalam operasi bersepadu di Taman Nagasari, Perai semalam.

SEBERANG PERAI – Seramai 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) melibatkan warga Myanmar dan Nepal diberkas dalam satu operasi bersepadu di sekitar Taman Nagasari, Perai di sini semalam.

Operasi yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San itu dijalankan selama kira-kira empat jam, bermula pukul 3 petang.

Taman Nagasari dikatakan menjadi antara lokasi tumpuan bagi penempatan warga asing di negeri ini dengan menyewa secara beramai-ramai di kediaman milik warga tempatan.

Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPD SPT) dalam satu kenyataan berkata, operasi tersebut dilaksanakan susulan beberapa aduan yang tular dalam media sosial berkaitan isu ketenteraman awam dan kebanjiran warga asing khususnya di kawasan itu sebelum ini.

“Hasil daripada operasi ini, sebanyak dua tangkapan kes jenayah dan 35 tangkapan kes PATI melibatkan warga Myanmar dan Nepal. Kehadiran warga asing di kawasan tersebut dikatakan telah menimbulkan rasa kegusaran dan tidak selamat dalam kalangan penduduk setempat.

“Oleh itu, pihak IPD (Seberang Perai Tengah) telah merancang operasi bersepadu ini bersama-sama beberapa jabatan dan agensi kerajaan bagi memantau serta menguatkuasakan tindakan terhadap kesalahan yang menyalahi undang-undang,” kata kenyataan itu.

Seramai 15 pegawai kanan polis bersama kira-kira 157 anggota terlibat dalam operasi tersebut dengan dibantu oleh 42 pegawai serta kakitangan daripada beberapa jabatan dan agensi lain.

Antara yang terlibat termasuk Imigresen, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) negeri dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

Turut serta adalah Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM), Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Nagasari. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI