PETALING JAYA – Pelakon Syafiq Kyle menghitung hari bahagia apabila bakal disatukan bersama kekasih, Mimi Lana sebagai pasangan suami isteri selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Syafiq, 30, ketika ditemui Kosmo! Online berkata, segala persiapan untuk majlis perkahwinannya bersama Mimi sudah lengkap dan berjalan lancar sepenuhnya.
“Insya-Allah kita ‘lepaskan’ puasa dan hari raya dahulu. Persiapan juga sudah hampir siap dan berjalan lancar.
“Alhamdulillah saya kini cuma menanti hari bahagia saja. Bukan nak cakap persiapan sudah 100 peratus siap, tapi semuanya dalam keadaan terkawal. Doakan saya,” katanya.
Ketika disoal tentang persiapan dirinya bergelar seorang suami, pelakon drama fenomena Nur itu berkata, dia sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut dan percaya mampu menjalani kehidupan berumah tangga dengan harmoni.
“Saya dengan pasangan (Mimi) sudah lama kenal. Jadi untuk ke fasa seterusnya (berkahwin), saya rasa lebih tersusun dan yakin mampu menguruskan masa dengan baik.
“Pengalaman juga banyak membantu kami. Jadi tiada masalah rasanya untuk pikul tanggungjawab ini. Lagipun selepas berkahwin nanti, aktiviti seni juga masih berjalan seperti biasa. Malah pihak produksi sendiri faham dengan jadual kerja kami,” ujarnya.
Terdahulu, pada 21 Januari lalu, Syafiq bersama keluarganya merisik Mimi dalam sebuah majlis yang diadakan secara tertutup di kediaman dramatis itu.
Sebelum ini, Syafiq memberitahu Kosmo! Online bahawa 2023 adalah tahun dirinya bakal menamatkan zaman bujang.
Pasangan itu mula berkongsi tentang hubungan istimewa mereka sekitar tahun 2019. Bagaimanapun, sekitar Mei 2020, hubungan mereka dikatakan putus sebelum kembali terjalin beberapa bulan kemudian. – KOSMO! ONLINE