REMBAU – Seorang bapa tunggal masih ‘kuat’ memegang amanah arwah isteri untuk menjaga empat anak lelaki yang juga orang kelainan upaya (OKU) berusia antara 13 hingga 22 tahun.
Karim Zainal, 58, berkata, dia memiliki lima anak hasil perkahwinan dengan Salina Wan Abdullah yang meninggal dunia, lapan tahun lalu akibat darah tinggi.
Sejak itu, katanya, dia yang bekerja sebagai pemandu lori terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anak-anaknya.
Katanya lagi, dia kemudian memulakan perniagaan makanan dan minuman secara kecil-kecilan dengan menjual cendol, air batu campur dan mi goreng.
“Selain saya, anak yang sulung, Nurul Ain Karim, 23, yang bekerja di kilang turut mencari rezeki untuk membantu keluarga.
“Namun, pendapatan berniaga kini tak seberapa, nak dapat RM200 sehari pun sukar,” katanya di Taman Pedas Indah di sini kelmarin.
Karim memberitahu, ujian bertambah getir apabila anak ketiganya, Mohamad Faizal Karim, 19, menjalani pembedahan disebabkan masalah membuang air besar dan kini terlantar sehingga memerlukan lampin pakai buang dan beg stoma.
Katanya, mujur anak keduanya, Mohammad Faiz, 22, boleh diharapkan untuk menjaga adiknya yang terlantar.
“Dua anak OKU saya mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300, namun semuanya digunakan bagi keperluan mereka.
“Jadi saya mohon bantuan Baitulmal. Daripada tiga barang yang saya mohon iaitu lampin pakai buang, beg stoma dan sarung tangan, hanya satu diluluskan iaitu lampin pakai buang,” katanya.
Menurutnya, satu beg stoma dan tapak beg tersebut boleh dipakai selama dua hari dan setiap bulan dia memerlukan sekurang-kurangnya 15 beg stoma dan tapak yang bernilai ratusan ringgit.
“Sebab itu kadangkala saya tidak mampu membayar duit rumah sebanyak RM240 sebulan. Malu juga ada tunggakan, tapi terpaksa minta bantuan Baitulmal bayarkan untuk elak rumah dilelong,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun Public Islamic Bank 6-8030506-25 dengan nama Karim Zainal.