PETALING JAYA – Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) meneruskan misi mencari dan menyelamat (SAR) dengan mengeluarkan lima lagi jasad mangsa nahas gempa bumi di Nurdagi, Turkiye.
SMART menerusi Facebooknya berkata, penemuan pertama hasil kerjasama pasukan MAS-01 dengan pasukan penyelamat tempatan di sana.
“Dua mangsa yang berada di bawah runtuhan bangunan itu ditemui pada pukul 1 petang waktu tempatan (Turkiye).
“Mereka dibawa keluar dengan menggunakan peralatan memecah dan memotong serta bantuan excavator (jengkaut),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, kesemua mangsa tersebut telah meninggal dunia.
Sementara itu, pasukan MAS-10 turut berjaya menemui dan mengeluarkan tiga mangsa di bawah sebuah runtuhan bangunan.
“Penemuan tersebut turut dibantu pasukan penyelamat tempatan di sana,” katanya. -KOSMO ONLINE.