JAKARTA – Pengunjung sebuah taman safari di Pasuruan, wilayah Jawa Timur gempar apabila dua ekor singa bergaduh sehingga merempuh sebuah kereta yang sedang bergerak, lapor portal berita Okezone hari ini.
Dalam kejadian di Taman Safari Prigen itu, kedua-dua singa jantan tersebut dikatakan bergaduh di kawasan yang dikhaskan untuk haiwan berkenaan sebelum ia saling berkejar dan terlepas ke arah laluan dipenuhi kereta.
Sebuah kenderaan kakitangan taman safari itu turut dilihat cuba mendekati kedua-dua haiwan itu.
Pemandu sebuah kereta berwarna merah kemudian terpaksa menghentikan kenderaannya apabila singa tersebut merempuh kenderaan itu.
Menurut laporan, lampu belakang di sebelah kiri kereta tersebut pecah akibat rempuhan namun, pemiliknya kekal berada di dalam kereta ketika insiden berlaku.
Menurut pengurusan taman safari tersebut, mereka akan membayar pampasan insurans kepada pengunjung yang terlibat.
“Ketika kejadian, pemilik kereta Yaris berwarna merah tidak membuat tuntutan insurans namun, kami tetap akan membayar pampasan kepadanya,” kata Pengurus Pendidikan Taman Safari II Jatim, Eko Windarto.
Taman Safari Prigen mengamalkan konsep di mana haiwan-haiwan dibiarkan bebas dengan pengunjung boleh menyaksikan aksi haiwan dan memberi makan dari dalam kenderaan mereka. – Agensi