KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, pelantikan LP Multi Terminal Sdn. Bhd. sebagai pengendali baharu Terminal Pelabuhan Merdeka Wilayah Persekutuan Labuan ditangguhkan bagi mengelakkan implikasi politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.
Keputusan tersebut dibuat berikutan cadangan Datuk Rozman Isli yang ketika itu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) kerana pelantikan syarikat itu memberi kesan kepada beliau selaku Ahli Parlimen Labuan.
Sehubungan itu, Labuan Liberty Port Management Sdn. Bhd. (LLPM) diberikan kebenaran sementara sebagai pengendali Terminal Pelabuhan Merdeka Wilayah Persekutuan Labuan.
Bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL), Zulkurnain Ayub, 62, berkata, Rozman bagaimanapun tidak mengisytiharkan bapa dan adiknya sebagai pemegang saham dalam LLPM.
Saksi pendakwaan ke-21 berkata, Jawatankuasa Pembangunan dan Pelaburan pada asalnya mengesyorkan LP Multi Terminal sebagai pengendali terminal dan cadangan itu dibentang pada Mesyuarat Lembaga Pengarah untuk keputusan.
Bagaimanapun, Rozman mencadangkan pelantikan LP Multi Terminal ditangguhkan selain memberi alasan kadar tarif pelabuhan masih belum dimuktamadkan oleh pihak pengurusan.
“Berikutan itu, LLPM diberi kebenaran sementara sebagai pengendali operasi pelabuhan dan mesyuarat bersetuju mengenakan sewa bulanan RM64,800 kepada syarikat itu.
“LLPM diberi kebenaran sementara tetapi tidak diberi harapan untuk dilantik menjadi pengendali operasi pelabuhan tersebut. LPL dan LLPM akan mengadakan perjanjian sewaan bulanan agar LLPM mengutip kadar sewa untuk kawasan operasi,” ujarnya pada sesi pemeriksaan utama yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Feisal Mohd Azmi.
Ketika membacakan pernyataan saksinya, Zulkurnain berkata, beliau dan seorang lagi ahli Lembaga Pengarah LPL turut menyokong cadangan Rozman bagi mengelakkan implikasi politik menjelang pilihan raya umum.
Beliau berkata, pada mesyuarat LPL yang berlangsung di Hotel Hilton di sini pada 4 Januari 2018, Rozman memaklumkan LLPM merupakan syarikat tempatan yang banyak membantu penduduk Labuan serta menderma kepada rumah anak yatim dan sumbangan dalam program di sana.
Terdahulu, Rozman, 57, didakwa sebagai pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi LPL menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi LLPM yang mana bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik Mesyuarat Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Putrajaya antara pukul 2.30 petang dan 5.30 petang pada 21 Mac 2018.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung esok. – KOSMO! ONLINE