PETALING JAYA – Baru reda gosip cinta lokasi Aliff Aziz dengan Sophia Albarakbah, aktres sensasi itu sekali lagi mengundang perhatian apabila memuat naik foto mesra dipeluk seorang lelaki dalam Instagramnya semalam.
Menerusi perkongsian tersebut, Sophia, 30, bagaimanapun mengaburkan wajah lelaki berkenaan yang memeluknya dari belakang.
Difahamkan, foto yang diambil bersama jejaka bertopi dan berjambang itu ketika mereka di dalam sebuah panggung wayang.
“Masa untuk menonton wayang,” kata pelakon filem Miimaland itu ringkas.
Hantaran tersebut sekali gus memberi bayangan hubungannya dengan teman lelaki seperti yang pernah dikongsi kepada umum sebelum ini masih baik meskipun dihambat kontroversi dengan aktor berstatus suami orang.
Terdahulu, nama Sophia terpalit dengan dakwaan dia mengganggu rumah tangga pasangan selebriti Bella Astillah dan Aliff apabila dikatakan mengaku jatuh cinta terhadap aktor berkenaan selepas bergandingan dalam drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah.
Sehingga hari ini, Sophia tidak mengeluarkan sebarang kenyataan bagi mempertahankan dirinya terhadap dakwaan tersebut. – KOSMO! ONLINE