KOTA BHARU – Sebuah kedai emas di Jalan Che Su di sini mengalami kerugian sebanyak RM17,000 selepas seutas gelang tangan dilarikan seorang lelaki yang menyamar sebagai pelanggan petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, suspek dikenal pasti sudah datang premis tersebut kelmarin dan memaklumkan hasratnya mahu membeli gelang emas berharga RM1,000 untuk anak perempuan.
Pekerja kedai emas yang hanya mahu dikenali sebagai Zulkifli, 25 berkata, lelaki itu datang dan melihat beberapa jenis gelang emas yang akan dihadiahkan kepada anak perempuannya.
Menurutnya, suspek dilihat turut mengambil gambar barangan kemas yang berkenan di hatinya sebelum memaklumkan bahawa dia akan datang semula untuk membuat pembelian keesokan hari iaitu semalam.
“Dia datang semalam dan mengatakan anaknya tidak berminat dengan corak gelang emas yang berharga RM1,000. Dia kemudiannyabmeminta saya menunjukkan gelang emas yang bersaiz lebih besar.
“Saya menunjukkan gelang emas corak terbaharu yang berharga RM17,000 kerana dia kelihatan benar-benar berminat dengan barangan kemas itu,” katanya ketika ditemui pemberita di premis tersebut hari ini.
Zulkifli memberitahu, suspek dilihat membelek-belek gelang tersebut sebelum dia terus melarikan diri membawa barang kemas itu.
Katanya, dia sempat mengejar lelaki itu sejauh 250 meter bersama beberapa orang awam, namun suspek gagal dikesan selepas melalui lorong belakang sebuah premis.
Ujarnya, setakat ini, pemilik kedai emas itu masih belum membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE