SAUDARA PENGARANG,
Saya tidak setuju dengan langkah kerajaan mahu ‘menghalalkan’ permainan mercun terutama pada Hari Raya Aidilfitri.
Tindakan itu mendatangkan risiko bahaya kepada pengguna terutamanya kanak-kanak, malah boleh membawa maut.
Banyak insiden yang terjadi sebelum ini, kanak-kanak putus jari dan kudung tangan.
Sebelum ‘dihalalkan’ pun, orang Melayu terutamanya membenarkan anak-anak mereka bermain mercun bermula
Ramadan lagi.
Mereka seolah-olah membenarkan anak-anak tidak menghormati orang lain terutama yang ingin beribadah sepanjang Ramadan.
Pembakaran mercun juga mengganggu warga emas, orang sakit dan bayi.
Kebenaran bermain mercun bukanlah satu keperluan ketika ini, jika tidak bermain mercun pun perayaan hari raya tetap meriah dengan pelbagai aktiviti lain seperti berkumpul beramai-ramai bersama adik-beradik serta sanak saudara.
Mohon kerajaan melihat semula perkara ini kerana mercun mendatangkan bahaya kepada keselamatan pengguna terutama kanak-kanak.
MAT SOM
Kuala Pilah