Saudara pengarang,
Saya seorang bapa kepada dua orang anak perempuan yang masing-masing berusia 7 dan 12 tahun iaitu darjah satu dan enam.
Duit belanja yang dibekalkan adalah sebanyak RM6 seorang untuk mereka berbelanja apa sahaja yang mereka perlukan sepanjang berada di sekolah.
Saban hari si adik akan bawa pulang mainan kecil, keychain, sticker kartun serta barang-barang lain yang dibelinya di koperasi sekolah yang kebiasaannya dijual di kedai-kedai pada harga RM2.40.
Sikap anak bongsu saya biasanya dia akan bercerita mengenai harga serta barang apa yang dibelinya setiap hari.
Secara jujurnya, saya agak terkejut dengan barang-barang yang dijual di koperasi sekolah, persoalannya adakah ini keperluan kepada murid untuk belajar?
Harga yang dijual juga agak mahal, pelekat berkartun yang nipis dijual pada harga RM1 sekeping dan mainan-mainan kecil boleh mencecah RM4.
Sikap budak kecil tentunya suka akan barangan seperti ini, ditambah pula tiada ibu bapa bersama mereka ketika berbelanja.
Saya berharap agar ada pihak pemantau untuk melihat barangan jualan di setiap sekolah terutamanya sekolah rendah.
Jangan dijadikan untung sahaja sebagai misi utama koperasi sekolah, tetapi perlu fikir apa yang perlu dan tidak perlu dijual untuk murid-murid.
BAPA MISALI
Lembah Pantai