PETALING JAYA – Lelaki maut akibat cedera parah selepas motosikal ditungganginya terlanggar sebuah palang yang berada di jalan berhampiran Verando Residence, di sini, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan tersebut sekitar pukul 10.13 malam daripada hospital yang merawat mangsa.
Katanya, kejadian tersebut melibatkan seorang lelaki tempatan yang menunggang motosikal jenis Honda Ex5.
“Siasatan awal mendapati, lelaki berusia 30 tahun itu terlanggar palang yang berada di jalan tersebut lalu terbabas.
“Mangsa mengalami kecederaan marah dan dikejarkan Unit Rawatan Rapi (ICU) di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) bagi mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Fakhrudin, pada pukul 10.12 malam mangsa telah disahkan meninggal dunia dan bedah siasatan bakal dijalankan untuk mengenal pasti punca dan sebab kematian.
“Justeru itu, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Saksi kejadian mohon tampil ke balai polis berdekatan atau berhubung terus dengan pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohamad Khairil Helmi Mohmad Isa di talian 019-331 8339 bagi membantu siasatan,” katanya. -KOSMO! ONLINE.