fbpx

Johor jangka raih pelaburan asing baharu cecah RM15 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Onn Hafiz ketika mengadakan pertemuan dengan beberapa wakil syarikat antarabangsa dalam lawatan rasmi selama tiga hari ke Singapura.

PETALING JAYA – Kerajaan Negeri Johor dijangka meraih beberapa pelaburan asing baharu bernilai RM15 bilion.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia hasil pertemuan dengan beberapa wakil syarikat antarabangsa dalam lawatan rasminya selama tiga hari ke Singapura bermula semalam.

Katanya, pelaburan tersebut mampu memberi peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat Johor.

“Syukur Alhamdulillah, saya telah memulakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Singapura, bertujuan untuk meningkatkan lagi hubungan baik antara negara republik itu dengan negeri Johor.

“Saya juga telah mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat antarabangsa yang berpengkalan di Singapura, termasuklah AirTrunk, sebuah syarikat pusat data skala besar yang terbesar di Asia Pasifik dan Jepun dan juga syarikat Wilhelmsen, salah satu kumpulan maritim terkemuka di peringkat global.

“Insya-Allah, nilai potensi pelaburan yang boleh dicapai hasil pertemuan ini adalah sekitar RM10 bilion ke RM15 bilion,” katanya menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebooknya.

Tambah beliau lagi, kesemua usaha itu menunjukkan negeri Johor akan terus kekal menjadi destinasi pilihan utama bagi pemain-pemain industri bertaraf global.

“Kerajaan negeri dengan bantuan kerajaan persekutuan komited untuk menjadi pemudah cara, termasuk daripada segi penyediaan utiliti dan infrastruktur, sehinggalah kepada insentif cukai, bagi menghasilkan suasana perniagaan yang lebih mesra pelabur dari serata dunia,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI